Jumat, 05 Februari 2010

Mancing Udang


Udang galah dikelaskan sebagai haiwan omnivor iaitu spesies yang boleh dikatakan makan serba-serbi yang dijumpainya. Untuk memudahkan mengesan udang lebih cepat kita perlu menggunakan umpan 'berbau'. Di kawasan air jernih udang amat berhati-hati dan kurang galak kecuali kita memancing waktu malam atau lubuk yang didominasi udang galah.

Umpan udang yang lumrah dan cepat diterpa udang ialah perumpun - jenis sarang, bakau, pantai dan nipah. Cacing tanah sama ada cacing gila atau jenis biasa. Anak udang sungai atau udang beras hidup/mati, remis, isi kerang, ala-ala - guna bahagian yang keras. Isi ikan dihiris halus memanjang mengikut saiz mata kail. Isi udang galah - potong mengikut saiz mata kail. Udang pasar tidak kira apa jenis, anak ikan longkang hidup atau mati kedua-duanya boleh. Pilihan lain - jantung/hati ayam tapi hanya sesuai untuk pancing di kolam.

Saiz umpan yang dipasang pada mata kail jangan terlalu besar kerana ini akan melambatkan proses udang menelan mata. Potong atau hiris umpan biar sepadan dengan saiz mata kail yang digunakan. Saiz mata kail udang dan jenis bergantung kepada jenis batang pancing.

Memancing udang galah tiada musim tertentu sama ada di kawasan hulu sungai dan pedalaman termasuk lombong, tasik dan kolam. Bagaimanapun musim kering (tiada hujan sebelumnya) adalah masa terbaik memancing udang galah. Selain daripada itu waktu malam lebih mudah mengendap udang galah berbanding siang kerana kawasan persekitaran air jernih dan udang galah jarang keluar merayau siang hari bagi mengelak diterkam pemangsa. Perlu diingatkan jika lokasi yang dikunjungi jauh dari kawasan pembangunan seperti hulu sungai pedalaman umpamanya, langkah keselamatan perlu diambil perhatian memandangkan malam hari terlalu banyak bahaya. Jika wujud keadaan kurang selamat dinasihatkan lebih baik tidak usah memancing di kawasan terbabit.

Bagi muara sungai musim udang galah hadir selepas beberapa hari sebaik saja hujan berhenti. Kebiasaannya air hujan akan keluar ke laut melalui sungai turut membawa bersama udang galah. Ketika ini udang galah akan berkeliaran di kawasan muara yang ketika itu airnya tawar. Udang galah akan mudik semula ke hulu sungai apabila muara sungai kembali payau atau masin. Secara ringkasnya musim udang adalah sepanjang tahun kecuali di muara hanya selepas musim hujan atau ketika muara sungai tawar airnya.

3. Perambut udang galah kebiasaannya ialah menggunakan tangsi 6 paun hingga 12 paun. Ini sudah memadai dengan berat udang itu sendiri. Kekuatan 12 paun boleh menampung dan mengangkat beban maksimum 5.5 kilogram sudah terlalu besar untuk udang galah sungai yang purata 50 gram hingga 500 gram. Panjang perambut seeloknya 15 sentimeter atau lebih kurang sejengkal jari orang dewasa. Jenis tangsi biarlah yang lembut supaya udang galah tidak begitu 'terasa' beban ketika mengunyah umpan. Mata kail udang banyak jenis dan saiz mengikut tempat, jenis lapangan pancing dan saiz udang. Saya biasanya menggunakan mata kail no 6 hingga no 8 kerana saiz ini paling sesuai. Banyak jenis dan saiz mata udang yang boleh di temui di pasaran tempatan.

Musim udang galah

HUJUNG dan awal tahun adalah masa paling sibuk bagi pemancing udang galah. Musim udang galah sering disamakan dengan musim daun getah gugur. Ataupun ketika musim panas (kemarau) di Pantai Barat. Di Semenanjung, udang galah banyak di Sungai Muda (Kedah). Sungai Kerian dan Sungai Perak (Perak). Sungai Bernam, Sungai Selangor dan Tanjung Karang (Selangor). Sungai Linggi (Melaka). Sungai Muar, Sungai Johor, Sungai Sedili, Sungai Mawai dan Sungai Mersing (Johor). Sungai Endau, Sungai Pontian, Sungai Rompin, Sungai Merchong, Sungai Pahang dan Sungai Kuantan (Pahang). Di Terengganu Sungai Kemaman, Sungai Paka, Sungai Dungun, Sungai Nerus dan Sungai Setiu.

Memancing udang galah lazimnya menggunakan bot kecil dengan dua atau tiga pemancing. Umpan popular – umpun-umpun, ikan gapi, anak udang dan hati ayam. Waktu memancingnya awal pagi, petang dan malam.

Sila lepaskan jika anda memancing ibu udang yang bertelur bagi memberi peluang ia terus membiak.

MEMANCING UDANG GALAH

PerkaraUtama berbincanglah dengan rakan, tarikh, masa dan lubuk yang akan dituju untuk aktiviti memancing udang.(menaiki bot). Persiapan awal antaranya engin sangkut 4 – 15 kuasa kuda, pendayung, sauh, tali, membuat perambut awal, peralatan memancing yang dikira lengkap, tidak lupa jaket keselamatan dan jika ingin memancing malam jangan lupa lampu suluh dan ''lampu kalimantan''atau ''lampu ayam'' Umpan perlu dicari terutama cacing tanah atau anak udang(yang dibungkus dalam suratkabar dan disimpan didalam peti sejuk,bagi mempastikan kesegarannya).

Peralatan

  1. Joran dan Kekili untuk memancing udang biarlah jenis ringan. Joran halus sebaiknya dalam 4 1/2 kaki panjang dan Kekili tidaklah perlu besar.
  2. Tali Utama seeloknya antara 10 - 15 paun manakala perambut pula antara 6 – 8 paun.
  3. Saiz batu ladung kebiasaannya antara no: 5 – 6. Saiz batu ladung yang kecil boleh digunakan ketika arus sungai bergerak perlahan.
  4. Beberapa jenama mata kail kecil boleh digunakan tetapi biasanya ialah antara no: 7 – 10 menjadi pilihan utama. Adakalanya pemancing suka menggunakan mata kail buatan sendiri.

Umpan (Rujuk Menu Utama Kelab ATUR – Bah. Umpan)

Udang sebenarnya tidak memilih makanan/umpan, tetapi pemancing mesti juga memikirkan ketahanan umpan dimata kail, antaranya cacing, perumpun, udang kecil, isi ikan. Namun pilihan utama tetap cacing tanah kerana berkaitan rapat dengan bentuk badannya dimata kail dan kesesuaian satu-satu lubuk udang tersebut.

Cara Memancing (dari atas sampan)

  1. Untuk memancing diatas sampan, paling sesuai dan selesa ialah 2 orang untuk sebuah sampan sepanjang 12 – 16 kaki.
  2. Lima batang joran seorang adalah bertepatan dan jika ada yang baru belajar mereka bolehlah bermula dengan 2 –3 batang dulu. Tidak menghairankan ada yang menggunakan lebih dari itu jika ia mampu mengawal kesemuanya.
  3. Susunan joran diatas sampan semasa memancing juga penting mengikut aturan yang betul seperti joran 1 dilontar jauh, diikuti joran 2 dekat sedikit dan begitulah seterusnya hingga joran terakhir dihulur saja bawah sampan. Ini semua dapat mengelakkan dari berbelit sesama sendiri.
  4. Melontar umpan sehingga umpan/batu ladung menjejaki dasar sungai, kemudian mengarau tali ibu dikekili sehingga tegang. Seterusnya diletakkan joran ditepi sampan tanpa dipegang dengan tangan dan tunggu.
  5. Jika sudah pasti udang telah menelan umpan(dgn. Melihat henjutan dihujung joran) lakukan sentapan yang lembut atau terus mengarau tali. Disinilah debaran dada si pemancing udang dapat dirasai dengan henjutan udang samada berjaya atau sebaliknya untuk didaratkan.

Makluman

  1. Isyarat udang memakan umpan adalah tidak sama mengikut keadaan.
  2. Kadang kala udang memakan umpan tanpa menunjukkan sebarang gerakan.
  3. Ada pula yang menyambar dengan kasar seperti ikan.
  4. Ada yang menarik umpan dengan keadaan separuh malu.
  5. Sambaran yang kecil dan perlahan tidak semestinya udang kecil dan sambaran yang kasar dan kuat tidak semestinya udang besar. (jangan terkejut) jawapan akan diketahui diseparuh perjalanan udang semasa hendak dinaikkan.

Mencari Lubuk

  1. Perhatikan kawasan yang mempunyai banyak makanan (buangan) serta kawasan yang senang udang bersembunyi.
  2. Kawasan berteluk berarus sederhana laju.
  3. Kawasan yang mudah tersangkut yang terdapat banyak ranting-ranting pokok serta akar-akar pokok didalam air.
  4. Memandangkan jadual air berubah setiap hari, kedudukan udang juga begitu, adakalanya udang galah suka bermain ditengah sungai terutama bila air bergerak sederhana laju.

Panduan

  1. Ketika memancing udang, sikap malas jangan diamalkan. Umpan perlu selalu diperiksa dimata kail. Caranya selepas 5 minit umpan dilabuhkan dan tidak ada sebarang isyarat, perlulah mengangkat joran untuk mempastikan sama ada ia tersangkut atau pun sudah memperolehi udang.
  2. Jika selepas 15 minit masih tiada isyarat udang, ini bermakna kawasan tersebut tidak sesuai untuk pancingan udang dan perlu beredar ke tempat lain.
  3. Musim tengkujuh adalah musim yang tidak sesuai memancing udang kerana paras air yang terlalu tinggi, aliran air yang deras serta cuaca/air yang sejuk.
  4. Masa paling sesuai ialah ketika musim panas 4 –5 hari tanpa hujan, air sungai menjadi suam tika itu udang galah keluar mencari makan.
  5. Gangguan spt. Anak-anak ikan, dan sebagainya adalah cabaran dalam menahan kesabaran.
  6. Penggunaan sauh diperlukan jika ingin memancing ditengah sungai.
  7. Jika sungai kecil (hulu) tali boleh direntang didalam usaha mencari lubuk udang.

Peringatan

  1. Pertuturan harus dijaga.
  2. Elakkan membuang makanan spt. Daging dikawasan pancing udang.
  3. Mata dan telinga sentiasa berwaspada kerana kebiasaan lubuk udang dikongsi bersama oleh sang bedal.
  4. Sering memberi kerjasama sesama rakan-rakan.
  5. Mulakan sesuatu dengan Bismillah dan disudahi dengan Alhamdulillah.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar